Senin, 19 April 2010

Andai Rasulullah datang ke rumah-ku

Andainya Rasulullah saw Datang ke Rumahku..

By Ummu Solihin · Saturday, February 27th, 2010

Menjelang hari kelahiran Rasulullah saw, tiba-tiba timbul di fikiran saya,
seandainya Rasulullah saw, (tetamu yang sangat dikasihi Allah swt) secara tiba-tiba, muncul di hadapan rumah saya. Dengan penuh hikmah, baginda saw menyatakan hajatnya untuk melihat anak-anak saya. Maka, apakah yang ingin saya tunjukkan pada baginda?

Mungkin,

….anak-anak yang sedang sibuk membaca dan menghafal Al Quran
….anak-anak yang sedang memegang tasbih, berzikir mengingati Allah

….anak-anak yang sedang bermain, tetapi masih mengenakan pakaian yang disukai oleh baginda saw
…anak-anak yang sedang makan kerana kelaparan,tetapi masih makan mengikut cara baginda saw

…anak-anak yang sedang tidur dengan lena dan mengadap ke arah kiblat sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw
…anak-anak yang mengerjakan solat sunat 2 rakaat apabila mempunyai sesuatu hajat, sebagaimana yang selalu diingatkan oleh Rasulullah saw kepada para sahabat-sahabatnya

Saya ingin baginda melihat anak-anak saya dengan wajah yang gembira. (Dikatakan bahawa wajah baginda akan berseri-seri seperti bulan purnama sewaktu dalam keadaan gembira). Baginda saw tentu akan gembira apabila melihat kesan pengorbanannya diterjemah pada keperibadian anak-anak saya :)

Selama ini, saya selalu katakan yang saya cintakan Nabi Muhammad saw. Akan tetapi, sejauh mana diri saya dan anak-anak saya telah mengamalkan cara hidup Rasulullah saw…

Rasulullah saw pernah bersabda:

“Barangsiapa yang berpegang teguh (mengamalkan) sunnahku di zaman fasad (kerosakan) ini, maka dia akan mendapat pahala 100 orang yang mati syahid”

“Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia menyintaiku. Dan barangsiapa yang menyintaiku, maka dia akan bersama-sama denganku di syurga nanti”

Alangkah indahnya hidup kita di akhirat nanti seandainya dapat berjiran dengan Rasulullah saw…

Untuk menjadi jiran Rasulullah saw, kita tidak dapat mengusahakannya apabila tiba di akhirat nanti. Tiada adegan pujuk memujuk, tawar menawar, di mahkamah mahsyar untuk mendapat tempat dan syafaat daripada Rasulullah saw.

Untuk mendapatkan itu semua, tiada cara lain melainkan kita perlu usahakan untuk mengikut cara hidup yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw sewaktu hidup di dunia lagi.

Mudah-mudahan Allah swt memberikan taufiq dan hidayah kepada kita semua untuk mengamalkan sunnah Rasulullah saw dalam kehidupan keluarga kita. InsyaAllah

Tidak ada komentar:

Posting Komentar